Pengikut

Rabu, 11 Januari 2012

PENGENALAN



Dasar 1Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang kurangnya
satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberikan tumpuan ke arah melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara yang memberikan penekanan kepada Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Matlamat dasar ini memberikan perhatian yang utama kepada murid yang kurang aktif supaya mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Pada masa yang sama, bakat murid yang berpotensi akan digilap dan dibangunkan melalui program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS).

Bidang sukan sangat penting dalam mengoptimumkan keupayaan fizikal murid selaras dengan ungkapan minda yang cerdas terletak pada tubuh yang sihat. Dalam konteks ini, bidang sukan memainkan peranan yang penting bagi melahirkan insan yang sihat, cergas dan produktif agar dapat memberikan sumbangan kepada kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negara. Justeru, pelbagai aktiviti sukan diperkenalkan bagi menarik minat murid agar  mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif. 

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan Dasar 1Murid 1Sukan agar setiap murid menikmati manfaat bersukan dengan harapan dapat membentuk generasi yang membudayakan sukan seiring dengan keperluan akademik.

Isnin, 9 Januari 2012

SEJARAH DAN PERKEMBANGAN BOLA TAMPAR


Pada awal tahun 1930-an, pasukan bola tampar dari universiti Hong Kong dan China telah melawat ke Tanah Melayu untuk mengadakan perlawanan persahabatan di bandar-bandar yang besar seperti Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Pada ketika itu, perlawanan bola tampar dianjurkan oleh Persatuan Olahraga Cina (Chinese Athletics Association) mengikut negeri masing-masing.

Federation of Malaya Amateur Volleyball Association (kini dikenali sebagai Persatuan Bola  Tampar Malaysia - MAVA) telah didaftarkan pada 9 Julai 1959 dengan nombor pendaftaran 1002 di Pulau Pinang. MAVA menjadi ahli gabungan kepada Majlis Olimpik Malaysia (OCM) dan persekutuan bola tampar antarabangsa (Federation Internationale de Volleyball – FIVB) pada tahun 1962.

MAVA terus memainkan peranan terhadap perkembangan sukan bola tampar dengan penaja 4 Kejohanan Bola Tampar Kebangsaan dari 1960 hingga 1963 yang dianjurkan oleh negeri Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Pahang. Ketika itu, sistem 9 orang pemain sebelah masih digunakan. Mulai tahun 1965, MAVA telah memperkenalkan sistem 6 pemain sebelah mengikut sistem antarabangsa pada kejohanan kebangsaan yang pertama berlangsung di Singapura. Acara wanita hanya diperkenalkan dalam tahun 1966.

Dalam tahun 1990-an, banyak program pembangunan dan pertandingan peringkat antarabangsa telah dilancar dan dikelolakan dengan jayanya oleh MAVA. Antaranya adalah seperti bola tampar mini bawah12 tahun, pertandingan bawah 15 tahun, bola tampar pantai, liga bola tampar Semi-Pro, Remaja SEA, Remaja Wanita Asia, Grand Prix Dunia Wanita dan Remaja Lelaki Sedunia.

Pada masa ini, MAVA mempunyai 17 ahli gabungan penuh daripada semua negeri di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia, manakala Bomba Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam sebagai ahli bersekutu. Bola Tampar Mini diasaskan oleh Dr. Horst Baacke di Jerman pada tahun 1960-an. Pada tahun 1990,  permainan bola tampar mini telah mula diperkenalkan di Malaysia, dan MAVA telah menganjurkan Kejohanan Bola Tampar Mini Kebangsaan. Mulai tahun 1993, Kejohanan Bola Tampar Mini telah diambil alih oleh MSSM. Kejohanan tersebut telah berlangsung bersama-sama dengan kejohanan bawah 18 tahun di Sintok (UUM), kedah.