Pengikut

Rabu, 11 Januari 2012

PENUBUHAN KELAB

PENUBUHAN KELAB
Dalam menubuhkan sesebuah persatuan di sekolah, pihak sekolah perlulah mengenal pasti  beberapa kriteria yang perlu diambil perhatian terlebih dahulu. Antara kriteria tersebut adalah seperti yang berikut :
i. Mengenal pasti kepakaran yang ada (guru yang bakal dilantik)Dalam memilih dan melantik guru penasihat kelab sukan sekolah, pihak pengurusan perlulah mengambil kira aspek-aspek kepakara sedia ada daripada guru-guru itu sendiri. Kepakaran ini merujuk kepada penglibatan guru tersebut dari bangku sekolah lagi, di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau di Universiti. Sememangnya bukan semua guru mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang sukan, namun sekurang-kurangnya pengalaman sejak dari bangku sekolah juga boleh dijadikan asas kepada pertimbangan bagi pelantikan seorang guru itu sebagai guru penasihat sesebuah kelab sukan sekolah.
 ii. Kemudahan prasarana sukan yang ada di sekolahPrasarana merupakan satu elemen yang mempengaruhi pelaksanaan program sukan di sekolah. Sekolah yang mempunyai padang akan mempunyai kelebihan yang banyak dalam menyusun atur program sukan khususnya sukan-sukan yang sering menjadi amalan di sekolah tersebut. Bagi sekolah yang mempunyai gelanggang, perlu bijak menyusun program program sukan yang berasaskan gelanggang manakala sekolah yang mempunyai dewan tertutup pula mempunyai kelebihan tersendiri dalam merancang program sukan di sekolah.
iii. Peralatan sukan yang sedia ada di sekolahPeralatan sukan juga mempengaruhi pelaksanaan program sukan di sekolah. Pelbagai aspek perlu dilihat secara menyeluruh dalam menyediakan peralatan sukan di sekolah. Pihak sekolah mungkin boleh mempertimbangkan aspek bilangan jenis sukan yang akan diwujudkan dalam sekolah, bilangan murid yang akan menyertai sesuatu jenis sukan dan bilangan guru penasihat yang boleh menyelenggarakan sesuatu peralatan sukan itu. Sesuatu jenis peralatan sukan ini juga mungkin akan dipengaruhi oleh harga dan jangkahayat alatan tersebut.
iv. Budaya sukan kegemaran yang menjadi pilihan murid di sekolahPemilihan jenis-jenis sukan untuk kelab sukan di sekolah sangat dipengaruhi oleh budaya sukan di sekolah berkenaan atau mungkin dipengaruhi oleh persekitaran masyarakat dalam komuniti tersebut. Pemilihan sukan-sukan itu perlulah bersesuaian dengan budaya sedia ada bagi memudahkan penglibatan murid secara menyeluruh.
v. Bilangan guru dan bilangan muridBilangan guru dipengaruhi oleh pengalaman guru tesebut sama ada sebagai seorang ahli sukan mahu pun guru penasihat atau jurulatih. Bilangan guru dalam satu-satu jenis sukan dipengaruhi oleh bilangan murid yang menyertai kelab sukan tersebut. Penyertaan murid dalam satu-satu kelab sukan juga perlu dikawal agar ahli kelab tidak terlalu ramai. Contohnya, kelab sukan bola sepak dan badminton pasti menjadi pilihan utama murid di Malaysia.Oleh itu, guru penasihat perlu bijak mengagih-agihkan murid sekolah itu secara menyeluruh.

PENGENALAN


Pengurusan Kelab Sukan melibatkan empat proses utama iaitu merancang, mengelola, memimpin dan mengawal.



FUNGSI PENGURUSAN DALAM SUKAN
Merancang – melibatkan proses menentukan objektif kelab sukan dan cara untuk mencapai objektifnya.
Mengelola – merujuk kepada proses mengagihkan serta mengkoordinasikan tugas serta sumber untuk mencapai sesuatu objektif kelab sukan.
Memimpin – proses mempengaruhi murid atau orang bawahan untuk bekerja dalam mencapai matlamat kelab sukan.
Mengawal – proses membentuk dan mengimplimentasikan mekanisme penilaian kerja bagi memastikan objektif kelab sukan yang dirancang akan tercapai.

KONSEP

Dasar 1Murid 1Sukan ialah program pembangunan sukan di sekolah yang mewajibkan setiap murid dari Tahap 2 di sekolah rendah hingga ke Tingkatan 6 di sekolah menengah mengikuti sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan yang dikendalikan secara terancang dan sistematik. Dasar 1Murid 1Sukan berteraskan prinsip-prinsip asas perkembangan fizikal Murid. Justeru, Dasar 1Murid 1Sukan diwujudkan untuk merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan agar;

i. memberikan akses kepada semua murid untuk mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang aktif atautidak aktif;

ii. membangunkan program sukan sekolah ke arah meningkatkan penyertaan murid sekurang-kurangnya dalam satu jenis sukan di sekolah;

iii. memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi
dalam sukan untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi;

MATLAMAT


Dalam jangka masa yang panjang, dasar ini berhasrat untuk melahirkan modal insan yang sihat dan cergas melalui penyertaan yang menyeluruh dalam kalangan murid melalui kegiatan sukan sepanjang tahun. Pelaksanaan dasar ini akan membantu bagi mengatasi masalah disiplin dan mengurangkan masalah obesiti dalam kalangan murid.

Membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dalam kalangan murid melalui kegiatan sukan sepanjang tahun serta memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

RASIONAL



Dasar 1Murid 1Sukan mendokong Dasar Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Dasar ini menitikberatkan penglibatan semua murid dalam pelbagai aktiviti sukan. Dasar ini dibentuk atas rasional kegiatan sukan adalah sebahagian daripada transformasi pendidikan yang diusahakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Sukan seharusnya mendapat pengiktirafan, sokongan dan galakan yang sama sebagaimana juga yang diberikan kepada keperluan asas yang lain seperti akademik dan kegiatan kokurikulum supaya dapat melahirkan murid yang seimbang dari segi kesejahteraan minda dan jasmani.


Dasar ini juga menyumbang kepada penggalakan pertandingan yang sihat, semangat muhibah, kesefahaman, toleransi dan meningkatkan nilai moral dan fizikal yang memberikan satu landasan yang betul dalam mengintegrasikan pelbagai kumpulan etnik kepada satu bangsa yang bersatu padu serta memupuk semangat cinta akan negara.

Dasar 1Murid 1Sukan dapat memberikan peluang secara menyeluruh kepada semua murid melibatkan diri dalam sukan secara lebih terurus dan terancang serta mengimbangkan fokus atau penekanan dalam melahirkan insan secara holistik.

PENGENALAN



Dasar 1Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang kurangnya
satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberikan tumpuan ke arah melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Dasar ini selaras dengan Dasar Sukan Negara yang memberikan penekanan kepada Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Matlamat dasar ini memberikan perhatian yang utama kepada murid yang kurang aktif supaya mereka melibatkan diri dalam aktiviti sukan. Pada masa yang sama, bakat murid yang berpotensi akan digilap dan dibangunkan melalui program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS).

Bidang sukan sangat penting dalam mengoptimumkan keupayaan fizikal murid selaras dengan ungkapan minda yang cerdas terletak pada tubuh yang sihat. Dalam konteks ini, bidang sukan memainkan peranan yang penting bagi melahirkan insan yang sihat, cergas dan produktif agar dapat memberikan sumbangan kepada kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negara. Justeru, pelbagai aktiviti sukan diperkenalkan bagi menarik minat murid agar  mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif. 

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melaksanakan Dasar 1Murid 1Sukan agar setiap murid menikmati manfaat bersukan dengan harapan dapat membentuk generasi yang membudayakan sukan seiring dengan keperluan akademik.

Isnin, 9 Januari 2012

SEJARAH DAN PERKEMBANGAN BOLA TAMPAR


Pada awal tahun 1930-an, pasukan bola tampar dari universiti Hong Kong dan China telah melawat ke Tanah Melayu untuk mengadakan perlawanan persahabatan di bandar-bandar yang besar seperti Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Pada ketika itu, perlawanan bola tampar dianjurkan oleh Persatuan Olahraga Cina (Chinese Athletics Association) mengikut negeri masing-masing.

Federation of Malaya Amateur Volleyball Association (kini dikenali sebagai Persatuan Bola  Tampar Malaysia - MAVA) telah didaftarkan pada 9 Julai 1959 dengan nombor pendaftaran 1002 di Pulau Pinang. MAVA menjadi ahli gabungan kepada Majlis Olimpik Malaysia (OCM) dan persekutuan bola tampar antarabangsa (Federation Internationale de Volleyball – FIVB) pada tahun 1962.

MAVA terus memainkan peranan terhadap perkembangan sukan bola tampar dengan penaja 4 Kejohanan Bola Tampar Kebangsaan dari 1960 hingga 1963 yang dianjurkan oleh negeri Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Pahang. Ketika itu, sistem 9 orang pemain sebelah masih digunakan. Mulai tahun 1965, MAVA telah memperkenalkan sistem 6 pemain sebelah mengikut sistem antarabangsa pada kejohanan kebangsaan yang pertama berlangsung di Singapura. Acara wanita hanya diperkenalkan dalam tahun 1966.

Dalam tahun 1990-an, banyak program pembangunan dan pertandingan peringkat antarabangsa telah dilancar dan dikelolakan dengan jayanya oleh MAVA. Antaranya adalah seperti bola tampar mini bawah12 tahun, pertandingan bawah 15 tahun, bola tampar pantai, liga bola tampar Semi-Pro, Remaja SEA, Remaja Wanita Asia, Grand Prix Dunia Wanita dan Remaja Lelaki Sedunia.

Pada masa ini, MAVA mempunyai 17 ahli gabungan penuh daripada semua negeri di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia, manakala Bomba Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam sebagai ahli bersekutu. Bola Tampar Mini diasaskan oleh Dr. Horst Baacke di Jerman pada tahun 1960-an. Pada tahun 1990,  permainan bola tampar mini telah mula diperkenalkan di Malaysia, dan MAVA telah menganjurkan Kejohanan Bola Tampar Mini Kebangsaan. Mulai tahun 1993, Kejohanan Bola Tampar Mini telah diambil alih oleh MSSM. Kejohanan tersebut telah berlangsung bersama-sama dengan kejohanan bawah 18 tahun di Sintok (UUM), kedah.