Pengikut

Isnin, 9 Januari 2012

SEJARAH DAN PERKEMBANGAN BOLA TAMPAR


Pada awal tahun 1930-an, pasukan bola tampar dari universiti Hong Kong dan China telah melawat ke Tanah Melayu untuk mengadakan perlawanan persahabatan di bandar-bandar yang besar seperti Singapura, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Pada ketika itu, perlawanan bola tampar dianjurkan oleh Persatuan Olahraga Cina (Chinese Athletics Association) mengikut negeri masing-masing.

Federation of Malaya Amateur Volleyball Association (kini dikenali sebagai Persatuan Bola  Tampar Malaysia - MAVA) telah didaftarkan pada 9 Julai 1959 dengan nombor pendaftaran 1002 di Pulau Pinang. MAVA menjadi ahli gabungan kepada Majlis Olimpik Malaysia (OCM) dan persekutuan bola tampar antarabangsa (Federation Internationale de Volleyball – FIVB) pada tahun 1962.

MAVA terus memainkan peranan terhadap perkembangan sukan bola tampar dengan penaja 4 Kejohanan Bola Tampar Kebangsaan dari 1960 hingga 1963 yang dianjurkan oleh negeri Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Pahang. Ketika itu, sistem 9 orang pemain sebelah masih digunakan. Mulai tahun 1965, MAVA telah memperkenalkan sistem 6 pemain sebelah mengikut sistem antarabangsa pada kejohanan kebangsaan yang pertama berlangsung di Singapura. Acara wanita hanya diperkenalkan dalam tahun 1966.

Dalam tahun 1990-an, banyak program pembangunan dan pertandingan peringkat antarabangsa telah dilancar dan dikelolakan dengan jayanya oleh MAVA. Antaranya adalah seperti bola tampar mini bawah12 tahun, pertandingan bawah 15 tahun, bola tampar pantai, liga bola tampar Semi-Pro, Remaja SEA, Remaja Wanita Asia, Grand Prix Dunia Wanita dan Remaja Lelaki Sedunia.

Pada masa ini, MAVA mempunyai 17 ahli gabungan penuh daripada semua negeri di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan, PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia, manakala Bomba Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam sebagai ahli bersekutu. Bola Tampar Mini diasaskan oleh Dr. Horst Baacke di Jerman pada tahun 1960-an. Pada tahun 1990,  permainan bola tampar mini telah mula diperkenalkan di Malaysia, dan MAVA telah menganjurkan Kejohanan Bola Tampar Mini Kebangsaan. Mulai tahun 1993, Kejohanan Bola Tampar Mini telah diambil alih oleh MSSM. Kejohanan tersebut telah berlangsung bersama-sama dengan kejohanan bawah 18 tahun di Sintok (UUM), kedah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan